SINOPSIS
Cerpen ‘Tulang Pekasam Ikan Puyu’ ini mengisahkan
tentang kehidupan sepasang suami isteri yang telah berusia dan tinggal di
kampung. Cerpen ini berkisar tentang empat watak utama iaitu Tuk Wan, Tuk, Nit
dan juga Jaber. Melalui watak Tuk Wan dan Tuk yang juga merupakan ibu bapa
kepada Jaber serta datuk dan nenek bagi Nit, pengarang cuba memperlihatkan konflik
kekeluargaan yang wujud dalam keluarga tersebut. Kerinduan yang ditanggung oleh
Tuk dan Tuk Wan terhadap cucu tunggal mereka yang sudah lama tidak menjenguk ke
kampung halaman. Begitu juga dengan satu-satunya anak tunggal mereka, Jaber
yang langsung tidak pulang ke kampung walaupun tempat tinggalnya dari kampung
tidaklah terlalu jauh. Kisah ini bermula apabila Tuk dan Tuk Wan mendapat surat
dari Nit yang mengatakan bahawa dia akan
pulang ke kampung pada cuti sekolah yang bakal tiba tidak lama lagi. Disebabkan
Nit sangat menggemari ikan pekasam, maka Tuk bertungkus-lumus cuba menyiapkan
sebanyak yang mungkin ikan pekasam untuk menyambut cucu tunggalnya itu walaupun
dengan kudratnya yang tidak seberapa. Apabila hari yang dinanti tiba, perasaan
Tuk yang mulanya sangat gembira untuk menyambut kepulangan cucunya telah
bertukar sebaliknya kerana Nit yang kini bukan seperti dulu lagi. Nit yang
setelah sekian lama tidak mengunjungi mereka, asyik bertanyakan tentang Tuk Wan
dan meluahkan rasa simpati terhadap Tuk Wan yang sudah tua tapi tidak kepada
Tuk. Hal tersebut telah menyebabkan hati dan perasaan Tuk sedih dan kecewa
kerana penat lelahnya menyediakan ikan pekasam seolah-olah tidak dihargai.
Kemuncak bagi cerpen ini ialah
apabila Nit tercekik tulang ikan pekasam ketika sedang asyik menjamu selera.
Walaupun Nit cuba meluahkan dan menjolok keluar tulang tersebut, ianya tidak
juga dapat dikeluarkan. Keadaan Nit yang sudah tidak mampu bercakap, dengan
matanya yang bergenang air mata serta batuk-batuk menyebabkan Tuk berasa
bersalah kerana tidak makan bersama-sama dengan Nit dan Tuk Wan dan tidak
menghiraukan Nit akibat mengikut kata hatinya yang sedih dan cemburu terhadap
Tuk Wan. Keesokannya, Nit meminta Tuk Wan menelefon ayahnya. Ketibaan Jaber di
kampung tidak menampakkan muka yang risau akan keadaan Nit sebaliknya dengan
bersahaja meminta Nit bersiap untuk dibawa ke hospital. Apabila cuba dihalang oleh
Tuk kerana takut batang leher Nit akan dibedah, Jaber telah menengking Tuk dan
menyebabkan Tuk terdiam dan berasa takut terhadap Jaber. Akhirnya Jaber
berusaha mengeluarkan tulang pekasam tersebut dan berjaya setelah
bertungkus-lumus menjoloknya keluar. Kemudian tanpa sepatah kata terhadap Tuk
dan Tuk Wan, Jaber terus membawa Nit menaiki kereta dan pulang ke rumahnya.
Tuk yang berasa sangat kecewa dan terguris hatinya telah
mengambil jala Tuk Wan yang digunakan untuk menjala di parit dan membakarnya.
Tuk telah menunggu sehingga jala tersebut hangus dijilat api, dan dalam masa
yang sama tersedu-sedu di sisi longgokan api tersebut. Akhirnya Tuk Wan
menyuruh Tuk supaya beristighfar.
Dewan
Masyarakat, Mei 1983.
No comments:
Post a Comment