Friday, 4 December 2015

Biodata Penulis Cerpen

BIODATA PENULIS CERPEN




Biodata Penulis Cerpen



Nama diberi ialah Azizi Abdullah (Hj. Azizi bin Hj. Abdullah) . Beliau dilahirkan di Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah pada 4 April 1942. Beliau merupakan salah seorang novelis yang terkenal di Malaysia dan pernah  menerima anugerah SEA Write Award dan penerima anugerah MASTERA 2007. 

Azizi Abdullah mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan Sekolah Melayu Kota Kuala Muda, Kedah. Kemudian, di Sekolah Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas, Seberang Perai (sekolah yang diasaskan oleh Tuan Guru Hj. Ahmad Badawi, ayahanda kepada bekas Perdana Menteri Datuk Abdullah Ahmad Badawi) hingga tahun 1965.

Penulis kepada cerpen Tulang Pekasam Ikan Puyu  (TPIP) ini merupakan bekas guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah (1965). Setelah bersara pada 1997, beliau menjadi Ketua Editor akhbar bulanan Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan terus aktif berkarya menghasilkan novel serta kritikan politik berunsur satira. 

Di samping itu, cerpen-cerpen yang dihasilkan beliau banyak disiarkan dalam akhbar-akhbar, terutama akhbar Utusan Melayu. Kira-kira sebanyak 200 cerpen  telah dihasilkan  dan 25 buah novel ditulis oleh beliau.

Kesungguhan Azizi menarik perhatian ramai pengkritik sastera menulis mengenainya. Sasterawan Negara Shahnon Ahmad misalnya pernah membuat kesimpulan seperti berikut: 

“Azizi adalah di antara sasterawan yang berawal mula dengan landasan sekadar ‘syok’ hendak mengarang tapi ia berkembang, menyelami liku pengalaman, menerokai pengalaman itu secara tuntas dan sudah berani mencipta ungkapan ala ke-Azizian … kekuatan beliau juga jelas ternampak dalam cerpen; malah kadang-kadang saya dapati Azizi lebih baik seorang cerpenis daripada novelis”

No comments:

Post a Comment