Sunday, 13 December 2015

Apa kata pakar?



Video ini sebenarnya tentang Bahasa Melayu dan pemerkasaannya. Serba sedikit juga berkenaan Linguistik dan hubungannya dengan kesusasteraan Melayu.

Selamat menonton :)

Wednesday, 9 December 2015

Poster !!!




Dalam menghasilkan poster, kami memikirkan dua idea semasa perbincangan. Pertama (gambar sebelah kiri), pembikinan poster yang memaparkan latar belakang ciri klasik, pena, dakwat pena, dan buku. Perkataan dan ayat yang kami pilih adalah ringkas supaya poster tidak terlalu padat dengan perkataan tetapi mesej masih dikekalkan.



Poster kedua (gambar sebelah kanan), kami menggunakan imej 'mentol lampu' sebagai simbolik kepada penerangan, penjelasan dan ilmu baru kepada mereka yang tidak memahami mengenai bidang Linguistik dan Sastera. 'Stilistik' pula kami meletakkannya sebagai kata utama dalam poster kerana bidang ini sendiri mendapat kritikan daripada ahli sastera kerana dikhuatiri menganggu nilai estetika karya-karya sastera. Dalam perbincangan kami, Idea imej 'mentol lampu' ini ringkas, tetapi mengandungi makna sekiranya pendengar dan pembaca memahami hubungan antara bidang Linguistik dan Kesusasteraan Melayu khusunya, terutamanya bidang Stilistik yang begitu akrab hubungannya dengan sastera.



Setelah berbincang dan memahami hasil poster ini, kami bersetuju untuk memilih idea kedua sebagai poster utama.









Monday, 7 December 2015

KESIMPULAN

KESIMPULAN

Perkaitan ilmu dalam bidang sastera dan bidang linguistik telah melahirkan satu sub - bidang dalam linguistik iaitu stilistik. Stilistik merupakan bidang yang mengkaji secara menyeluruh karya dengan menerapkan kajian ilmu linguistik dalam penggunaan bahasa. Melalui bidang ini, pembaca dapat mengetahui tujuan penulis menggunakan gaya bahasa yang tertentu dalam karyanya.


Analisis Gaya Bahasa II

Dalam entri analisis gaya bahasa I, kami dah bercerita panjang lebar mengenai gaya bahasa langsung. Kali ini, kami bawakan kepada anda gaya bahasa tidak langsung pula.

Selamat Membaca !

GAYA BAHASA KIASAN

Gaya bahasa yang dibentuk untuk tujuan perbandingan atau persamaan. Perbandingan merangkumi dua pengertian. Pertama ialah yang tergolong dalam gaya bahasa langsung dan yang kedua ialah perbandingan yang tergolong dalam bahasa kiasan

Tiga aspek gaya bahasa kiasan

 (a) Persamaan atau simile
Secara mudahnya, simile adalah perbandingan yang bersifat eksplisit (Hassan Baseri Budiman, 1992:79). Yang dimaksudkan dengan perbandingan ini ialah sesuatu yang dikatakan sama secara langsung dengan hal yang lain. Selain itu dapat juga dikatakan bahasa perbandingan yang dibuat itu adalah secara terus. Contohnya :
i)                    Tuk Wan cepat-cepat pakai cermin mata bingkai bulan.
ii)                  Jala bermata sebesar ibu jari itu sudah lama.
iii)                Tuk gembira ikan puyu hampir besar tapak tangan.

(b)  Metafora
Metafora adalah semacam analogi yang membandingkan dua hal secara langsung, tetapi dalam bentuk yang singkat. Contohnya:
i)                    Tuk perhatikan Tuk Wan yang bongkok-bongkok menanggung jala menuju ke parit giladi tengah bendang.
ii)                  Akhirnya ketika matahari hayun-temayun. Tuk Wan pun balik dengan ikan sekerat raga.

(c) Personifikasi
Personifikasi ialah gaya bahasa kiasan yang memberikan sifat manusia kepada benda-benda yang bukan hidup. Contohnya:
i)                    Angin dan pintu dapur yang terbuka menyentuh pipi kerepot Tuk.
ii)                  Tuk menunggu di longgok api itu sehingga api itu menjilat habis jala Tuk Wan.

Jelas bahawa berdasarkan dua gaya bahasa yang disentuh di atas, menunjukkan bahawa penggunaan gaya bahasa dalam cerpen dapat menimbulkan kesan keindahan dan kesan ketepatan dalam sesebuah karya. Oleh yang demikian, dalam penulisan, seseorang karyawan boleh memilih satu-satu gaya yang tertentu supaya apa yang hendak diceritakan itu menjadi mudah dan menarik.
            Terdapat aspek linguistik lain boleh diutamakan misalnya, aspek leksikal yang berkaitan pemilihan diksi dan penyingkatan kata. Sementara itu, aspek semantik dihubungkan pula dengan gaya bahasa perbandingan, termasuk bahasa figuratif seperti simile, metafora, personifikasi, hiperbola, perlambangan, paradoks dan sebagainya.  

Analisis Gaya Bahasa I


Baiklah, dalam entri sebelum ini kami telah menjelaskan mengenai stilistik. Entri kali ini pula, kami akan mengupas gaya bahasa yang ada dalam subjek kajian kami, iaitu  cerpen TULANG PEKASAM IKAN PUYU (TPIP).

Sebelum berceloteh panjang mengenai gaya bahasa, dalam cerpen ini terdapat dua jenis gaya bahasa iaitu gaya bahasa langsung dan gaya bahasa tidak langsung. Tapi, entri kali ini, kami hanya akan memuatkan mengenai gaya bahasa langsung sahaja


Selamat membaca !



GAYA BAHASA LANGSUNG

I. Repetisi ( Perulangan)
Gaya bahasa repetisi ialah gaya bahasa yang mengandungi unsur-unsur pengulangan bunyi, suku kata, kata, frasa atau bahagian ayat yang dianggap penting untuk menghasilkan kesan dan memberi tekanan dalam sebuah konteks yang sesuai. (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005). Selain itu, Prof. Dr. Nyoman Kutha Ratna (2009) pula mengatakan bahawa repetisi ialah bentuk perulangan kata ataupun kelompok kata.

Berikut merupakan antara gaya bahasa repetisi lazim yang terdapat dalam cerpen TPIP:
1     1.  Aliterasi (perulangan konsonan di awal kata dan yang berturutan)
Pengulangan konsonan ‘t
Contoh:
-Tuk tidak tahu baca. Tetapi melihat surat sahaja pun, rindu tuk sudah terubat. “Apa kata Nit?” tanya tuk.

2      2Asonansi (pengulangan bunyi vokal)
Contoh pengulangan vokal ‘i’
-Tuk Wan terima surat daripada posmen waktu hampir makan nasi tengah hari. Tuk Wan cepat-cepat pakai cermin mata bingkai bulat.
-Tuk perempuan sudah tidak senang bubuh nasi di dalam pinggan. Tuk sudah tidak senang isi gulai di dalam mangkuk.

Contoh pengulangan vokal ‘a’
-Tuk melihat sahaja surat itu. Tuk tidak tahu baca. Tetapi melihat surat sahaja pun, rindu tuk sudah terubat. “Apa kata Nit?” tanya Tuk.

3      3. Anafora (pengulangan perkataan pertama pada baris yang berikutnya)
Contoh:
-Tuk bagaikan disentak. Gembira tiba-tiba. Tuk kesot kembali dekat tuk wan yang sedang bongkok makan nasi. Tuk lihat perut tuk wan yang tidak berbaju itu berlipat-lipat isinya dan bergelambir. Tuk nampak urat-urat lengan tuk wan timbul kerekot.
-Tuk wan kurus tetapi kekar. Tuk wan kurus tetapi keras.
-Kepulangan nit menjadikan kekuatannya kembali segar. Kepulangan nit melepaskan tanggungan rindunya yang sekian lama.

4      4. Epifora (pengulangan kata pada akhir baris secara berturutan)
Contoh:
-Pinggan nasi digesak, mangkuk gulai digesak.
-Ikan puyu cerdik. Ikan keli cerdik.

5      5. Rima (bunyi yang sama pada huruf akhir dalam baris).
Contoh: Rima ‘aa’
-Tuk berpaling ke kiri. Sekali lagi tusukan pilu kata-kata nit dirasai.
-Maka tuk pun tersenyum. Barulah diyakininya yang nit masih lagi berminat dan berselera dengan pekasam.


GAYA BAHASA REPETISI YANG LAIN

1      1. Anadiplosis (pengulangan kata atau frasa terakhir menjadi kata atau frasa pertama dalam baris        seterusnya).
Contoh:
Tuk teringat pekasam. Sudah seminggu. Seminggu tentu sudah masam.

2      2. Antanaklasis ( pengulangan kata yang sama bentuknya dalam ayat tetapi mempunyai makna           yang berbeza.
Contoh:
Tuk mahu tempik pada nit, bagaimana sakit kena cucuk sirip ikan puyu, bagaimana nyamuk ketubung waktu maghrib ketika mengisar ikan. Bagaimana lenguh menumbuk dan menggiling beras buat serbuk.

3      3. Epanalepsi (pengulangan kata pertama menjadi kata terakhir dalam klausa atau ayat).
Contoh:
Tuk wan macam sudah mengambil alih semua itu sehingga nit lebih berat mengambil tahu pada tuk wan.

4      4. Simplok ( perulangan pada awal dan akhir baris [gabungan gaya bahasa anafora dan katafora])
Contoh:
Tuk tidur di sisi Nit. Tuk dakap Nit. Tuk belai rambut Nit.

5      5. Responsif / Mesodilopsis ( perulangan kata di bahagian tengah baris)
Contoh:
Mata Nit berair. Muka Nit merah. Air hidung Nit meleleh-leleh.


II. Paralelisme (Kesejajaran)
Paralelisme ialah gaya bahasa yang mencapai persejajaran dalam pemakaian kata-kata atau frasa yang menduduki fungsi yang sama dalam bentuk gramatikal yang sama ( Gorys Keraf. 1986: 126). Manakala Kamus Linguistik (1984) pula mendefinisikan gaya bahasa paralelisme sebagai pemakaian kata yang berulang-ulang ujaran yang sama dalam bunyi, tatabahasa atau makna, atau gabungan dari kesemuanya yang merupakan ciri khas dari bahasa puitis (1984: 121).

Dalam karya TPIP ini, kesejajaran frasa yang digunakan  tidak berada dalam satu ayat, sebaliknya penggunaan ayat-ayat yang ringkas dan mudah tetap mempunyai fungsi yang sama. Contoh yang dapat dilihat adalah seperti berikut:
i.         Tuk perempuan sudah tidak senang bubuh nasi dalam pinggan. Tuk sudah tidak senang isi gulai dalam mangkuk.
ii.       Tuk siangkan sisik. Tuk buang perut. Tuk kisar dengan asam gelugur. Tuk asingkan ikan sepat benua dengan ikan puyu.
iii.     Tuk beredar. Tuk naik semula ke rumah. Tuk rebah diri di atas tempat tidur. Tuk memandang bumbung rumah. Tuk letak tangan di atas dahi.
iv.     Nit membuka mulutnya luas-luas, meluahkan sesuatu yang tersangkut. Nit muntah. Nit meloya

1  III.    Gaya bahasa Anitesis
Gaya bahasa yang mengadakan perbandingan antara dua antonim yang saling bertentangan secara semantik.
Contoh:
Tuk Wan kurus, tetapi kekar (tegap dan kuat). Tuk wan kurus, tetapi keras

2    IV.  Gaya bahasa klimaks dan antiklimaks
Secara umumnya, dikenali sebagai gaya bahasa yang bersifat periodik dan gaya bahasa yang bersifat kendur di dalam suatu kalimat.
Secara khususnya, gaya bahasa klimaks mengandungi urutan – urutan yang makin lama makin mengandungi penekanan. Manakala, gaya bahasa anti – klimaks pula merupakan gagasan – gagasan yang berturut – turut kian berkurang kepentingannya serta dihasilkan melalui penggunaan ayat yang berstruktur mengendur.
Contoh:
i.         Nit sudah lama tidak balik. Sejak masuk sekolah berasrama, pakai kelubung putih dengan naju putih dan kain biru, Nit jarang balik, walau dengan bapanya. Nit Cuma kirim surat. Dalam surat, Nit kata dia selalu rindu Tuk dan Tuk Wan.
ii.        Padanlah dengan Jaber, anak tunggal Tuk itu. Kata sahaja ada kereta, tetapi tidak pernah balik. Padanlah dengan bini Jaber, menantu yang tidak banyak cakap, bukan mahu ajak Jaber balik ke sini. Jaber selalu sibuk. Dan kini, apabila Nit sudah masuk sekolah berasrama, bukan mudah hendak balik. Kena cuti panjang. Balik begitu – begitu jangan harap.

3      V. Gaya bahasa retoris
Gaya bahasa yang menggunakan bahasa yang jelas dan padat. Maknanya diwujudkan secara bukan tersirat, iaitu secara langsung berdasarkan lapisan luar makna bahasa. Gaya bahasa retorik boleh dibahagikan kepada aliterasi, asonasi, susunan songsang (inversi), ellipsis, litotes dan eufemisme.

a      1. Susunan songsang (inversi)
Gaya bahasa yang terhasil daripada pembalikan ayat atau rangkai kata dengan tujuan menimbulkan kesan tertentu. Dari segi susunan ayat, susunan songsang ialah gaya yang menterbalikkan susunan biasa ayat, iaitu S + P kepada P + S
i.        Tuk wan makan nasi cukup lalu.
ii.       Tuk bangun lagi, terketar – ketar.
iii.      Mata Tuk tergenang air.

b     2.  Eufemisme
Sejenis gaya kiasan halus yang biasanya berbentuk ungkapan atau simpulan bahasa yang mengandungi isi dan pengertian yang kurang menyenangkan. Dengan cara ini, pendengar tidak rasa tersinggung atau kecil hati.
Contoh:
i.                    Jaber balik seoang diri kerana bini jaber masih bekerja.
ii.                  Tuk Wan macam tuli.

Perkataan bini dan tuli kedua – dua bersinonim dengan berkataan isteri dan tuli. Namun, kedua – duanya digunakan dalam pengucapan yang agak kasar. Walaubagaimanapun, penggunaan perkataan ini mungkin sudah biasa digunakan oleh masyarakat sekeliling serta perkataan ini tidak lagi dianggap kasar oleh mereka


Pemilihan perkataan:
i.                    Pinggan nasi digesak, mangkik gulai digesak
ii.                  Ketika matahari hayum – temayaun
iii.                Tuk tiba bangun terkakap – kakap
iv.                 Tuk merenung ke arah jalan


RUJUKAN

Nik Hassan Basri bin Nik Ab. Kadir. 2005. Stilistik Komsas. Tanjung Malim: Universiti     Pendidikan Sultan Idris.

Nyoman Kutha Ratna. 2009. Stilistika: Kajian Puitika Bahasa, Sastra, dan Budaya.           Yogyakarta: Pustaka Pelajar. 

Sinopsis Tulang Pekasam Ikan Puyu

SINOPSIS

Cerpen ‘Tulang Pekasam Ikan Puyu’ ini mengisahkan tentang kehidupan sepasang suami isteri yang telah berusia dan tinggal di kampung. Cerpen ini berkisar tentang empat watak utama iaitu Tuk Wan, Tuk, Nit dan juga Jaber. Melalui watak Tuk Wan dan Tuk yang juga merupakan ibu bapa kepada Jaber serta datuk dan nenek bagi Nit, pengarang cuba memperlihatkan konflik kekeluargaan yang wujud dalam keluarga tersebut. Kerinduan yang ditanggung oleh Tuk dan Tuk Wan terhadap cucu tunggal mereka yang sudah lama tidak menjenguk ke kampung halaman. Begitu juga dengan satu-satunya anak tunggal mereka, Jaber yang langsung tidak pulang ke kampung walaupun tempat tinggalnya dari kampung tidaklah terlalu jauh. Kisah ini bermula apabila Tuk dan Tuk Wan mendapat surat dari Nit yang mengatakan  bahawa dia akan pulang ke kampung pada cuti sekolah yang bakal tiba tidak lama lagi. Disebabkan Nit sangat menggemari ikan pekasam, maka Tuk bertungkus-lumus cuba menyiapkan sebanyak yang mungkin ikan pekasam untuk menyambut cucu tunggalnya itu walaupun dengan kudratnya yang tidak seberapa. Apabila hari yang dinanti tiba, perasaan Tuk yang mulanya sangat gembira untuk menyambut kepulangan cucunya telah bertukar sebaliknya kerana Nit yang kini bukan seperti dulu lagi. Nit yang setelah sekian lama tidak mengunjungi mereka, asyik bertanyakan tentang Tuk Wan dan meluahkan rasa simpati terhadap Tuk Wan yang sudah tua tapi tidak kepada Tuk. Hal tersebut telah menyebabkan hati dan perasaan Tuk sedih dan kecewa kerana penat lelahnya menyediakan ikan pekasam seolah-olah tidak dihargai.

Kemuncak bagi cerpen ini ialah apabila Nit tercekik tulang ikan pekasam ketika sedang asyik menjamu selera. Walaupun Nit cuba meluahkan dan menjolok keluar tulang tersebut, ianya tidak juga dapat dikeluarkan. Keadaan Nit yang sudah tidak mampu bercakap, dengan matanya yang bergenang air mata serta batuk-batuk menyebabkan Tuk berasa bersalah kerana tidak makan bersama-sama dengan Nit dan Tuk Wan dan tidak menghiraukan Nit akibat mengikut kata hatinya yang sedih dan cemburu terhadap Tuk Wan. Keesokannya, Nit meminta Tuk Wan menelefon ayahnya. Ketibaan Jaber di kampung tidak menampakkan muka yang risau akan keadaan Nit sebaliknya dengan bersahaja meminta Nit bersiap untuk dibawa ke hospital. Apabila cuba dihalang oleh Tuk kerana takut batang leher Nit akan dibedah, Jaber telah menengking Tuk dan menyebabkan Tuk terdiam dan berasa takut terhadap Jaber. Akhirnya Jaber berusaha mengeluarkan tulang pekasam tersebut dan berjaya setelah bertungkus-lumus menjoloknya keluar. Kemudian tanpa sepatah kata terhadap Tuk dan Tuk Wan, Jaber terus membawa Nit menaiki kereta dan pulang ke rumahnya.

Tuk yang berasa  sangat kecewa dan terguris hatinya telah mengambil jala Tuk Wan yang digunakan untuk menjala di parit dan membakarnya. Tuk telah menunggu sehingga jala tersebut hangus dijilat api, dan dalam masa yang sama tersedu-sedu di sisi longgokan api tersebut. Akhirnya Tuk Wan menyuruh Tuk supaya beristighfar.

Dewan Masyarakat, Mei 1983.

Sunday, 6 December 2015

Justifikasi dan Objektif

JUSTIFIKASI CERPEN

Secara amnya, cerpen yang dipilih adalah berdasarkan dua konteks iaitu kewibawaan penulis dan pencapaian cerpen yang dihasilkan.

Seperti yang dimaklumkan penulis kepada cerpen Tulang Pekasam Ikan Puyu adalah nama besar yang tidak asing lagi dalam persada kesusasteraan moden Arab dan Melayu. Kebanyakan hasil tulisannya diterbitkan di majalah, akhbar, antologi bersama atau pun memenangi sayembara penulisan. Kewibawaan yang ada pada seorang penulis dapat menghasilkan cerpen yang mantap dan baik dan cerpen tersebut wajar untuk dikaji secara komprehensif atau lebih mendalam.

            Selain itu, pemilihan cerpen Tulang Pekasam Ikan Puyu adalah berdasarkan merit pencapaian dan kekuatan cerpen untuk dijadikan sebagai data kajian. Dengan kata lain, pemilihan cerpen tidak dilakukan sembarangan dengan memilih mana-mana cerpen tanpa melihat potensi, latar belakang dan signifikan cerpen tersebut. Dalam konteks pencapaian ini, cerpen Tulang Pekasam Ikan Puyu karya Azizi Abdullah ini telah dijadikan skrip drama TV dan memenangi sayembara penulisan skrip TV ketika itu. Cerpen ini juga terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83.

           Oleh yang demikian, cerpen hasil tulisan Azizi Abdullah ini wajar untuk diangkat sebagai data kajian berdasarkan kedua-dua konteks yang telah dikemukakan.




OBJEKTIF KAJIAN

Kajian yang dijalankan adalah bertujuan untuk:

1) Mengenal pasti bidang yang terdapat dalam linguistik yang berkaitan dengan bidang sastera.

2) Menganalisis perkaitan antara bidang linguistik dan sastera dalam cerpen 'Tulang Pekasam Ikan Puyu'.