Monday, 30 November 2015

Hubungan Linguistik dan Sastera

Fokus Stilistik

Fokus utama ilmu stilistik adalah menjawab kepada apa gaya bahasa yang digunakan? Gaya bahasa merujuk terus kepada gaya unik seseorang penulis dalam menyampaikan idea kepada pembaca mengikut pandangannya. Selain itu, tumpuan stilistik melingkupi kenapa gaya bahasa sedemikian digunakan (tujuan) penulis. Gaya bahasa yang dimaksudkan tersebut terbahagi kepada dua unsur iaitu gaya menurut sistem bahasa dan gaya menurut seni bahasa.

Ciri-ciri Stilistik Bahasa

Ciri utama stilistik bahasa adalah indah dan menarik. Ciri tersebut merupakan gambaran kepada keunikan penulis dalam mencetuskan sesuatu karya sastera menurut gaya dan stailnya yang tersendiri. Selain itu, stilistik bahasa juga bersifat menyenangkan bukan sahaja kepada penulisnya tapi juga kepada pembacanya serta memiliki nilai estetika.


Stilistik dari Sudut Sastera

Stilistik mengkaji secara keseluruhan karya dengan menerapkan kajian ilmu linguistik dalam penggunaan bahasa. Karya sastera berbeza antara satu sama lain kerana penggunaan gaya bahasa digunakan untuk menimbulkan kesan artistik. Rene Wellek dan Austin Warren 1966 menyatakan bahawa stilistik bertujuan untuk meneliti penggunaan bahasa yang menyimpang daripada norma dan berusaha menemukan nilai estetik. 

Prinsip Stilistik

1 - Mengiktiraf bahasa sebagai punca kegiatan berkreatif dengan merujuk kepada kemampuan berbahasa sebagai satu anugerah dan bakat seseorang penulis. Karya sastera adalah huraian tentang kebolehan mengarang bagi seseorang penulis.

2 - Menerangkan aspek tema yakni pendekatan struktural. Penelitian menggunakan pendekatan ini merujuk kepada aspek bahasa yang melibatkan ayat-ayat yang membina keseluruhan karya.

3 - Memperlihatkan gaya keperibadian seseorang pengarang. Murry J.M (1967), mengatakan bahawa kedudukan stilistik sebagai penelitian sesuatu gaya istimewa dalam eksposisi dan pembentukan satu penyusunan diksi serta struktur kalimat yang mencerminkan keperibadian atau idiosinkrasi penulisnya. Perbezaan stail dalam kalangan penulis disebabkan oleh beberapa aspek iaitu pendidikan, keperibadian, pengalaman dan juga sikap penulis itu sendiri.

4 - Menghuraikan pemilihan diksi, pembentukan perkataan dan ayat. Pendekatan kajian morfologi dan sintaksis mampu menghuraikan pelbagai genre dan jenis perkataan serta ayat yang digunakan. Oleh sebab itu, seseorang pengkaji perlu menguasai aspek sosiologi dan dialektologi.

5 - Membantu pembaca memahami makna perkataan yang sukar serta ayat yang kompleks yang digunakan oleh pengarang. Misalnya, penggunaan kata dan diksi dari bahasa daerah dan tempatan dapat memperkaya perbendaharaan kata di samping merupakan satu gaya dan stail pengarang.

6 - Menekankan penelitian tentang penghasilan sesebuah karya. Hal ini demikian kerana  semasa berkarya, seseorang individu itu didorong oleh pelbagai keadaan dan rangsangan yang berlaku di sekelilingnya. Hasilnya pengkaji dapat menemukan gagasan bahawa terdapat unsur-unsur bahasa yang mendorong seseorang untuk menjadi kreatif. 

7 - Digunakan untuk menghuraikan penerimaan dan penghargaan pembaca atau khalayak ramai terhadap sesebuah karya. Oleh itu, stilistik dapat menjelaskan kesan penggunaan bahasa sama ada dapat difahami, menimbulkan keseronokan, kesedihan, kemarahan, semangat terhadap penggunaan penanda dan petanda bahasa yang yang digunakan untuk mengungkapkan pemikiran, mesej atau idealisme pengarang.

Hubungan Bahasa dan Sastera

Disiplin ilmu linguistik yang digunakan ialah Fonologi,Morfologi, Sintaksis dan Semantik yang diguna pakai dalam menganalisis kesusasteraan tradisional dan moden, prosa dan puisi serta aliran dan pemikiran.

Kedudukan Bahasa dalam Sastera

Bahasa merupakan suatu seni yang bersifat halus, tertib, bersistem dan memiliki nilai keindahan. Manakala susastera pula bermaksud seni bahasa yang indah.

Penulis dan Bahasa

Penulis merupakan pemikir, pemerhati, perenung dan tukang sibuk dalam masyarakat. Selain itu, penulis merupakan pentafsir kepada sesuatu isu yang berlaku di sekeliling masyarakatnya. 

Bahasa dalam Teks Sastera

Penulis menggunakan bahasa untuk menterjemahkan pemikiran mereka dengan menerapkan unsur emotif, suspen, ketegangan dan peleraian. Penerapan unsur sedemikian ditandai dengan pemilihan kata dan diksi.

Ayat Tunggal 

Merupakan bentuk yang sering digunakan dalam karya sastera kerana pengucapannya cepat, aliran pemikirannya selari dan sering digunakan dalam situasi berkonflik, berlawan cakap, suasana cemas dan interaksi bersemuka.

Hubungan Bahasa dan Kajian Sastera

1. Pendekatan Stilistik
2. Pendekatan Analisis Wacana
3. Teori Semiotik

Bahasa dan Batas Makna

Bahasa digunakan untuk:

1. Menyatakan maksud.
2. Menjelaskan sesuatu.
3. Mewujudkan kemesraan.
4. Mendapatkan kepastian dan membuat keputusan.

Penentuan Makna

Idea yang disampaikan berdasarkan kefahaman dan stail penulis tidak lari daripada kelainan penerimaan daripada khalayak pembaca kerana sesuatu perkara sering kali cenderung dilihat berdasarkan kepada budaya setempat. Selain itu, faktor perbezaan kerana perbezaan lambang bahasa yang dimiliki oleh anggota masyarakat setempat. Oleh itu, makna sesuatu ayat dan diksi seharusnya dilihat melalui isyarat bahasa. 

Faktor Pemahaman

Setiap pembaca mempunyai tahap pemahaman yang berbeza disebabkan oleh beberpa perkara iaitu intonasi, aliran pemikiran, pemilihan diksi, persepsi dan tanggapan serta hubungan pembaca dengan penulis. 

1 comment: