Monday, 30 November 2015

Hubungan Linguistik dan Sastera

Fokus Stilistik

Fokus utama ilmu stilistik adalah menjawab kepada apa gaya bahasa yang digunakan? Gaya bahasa merujuk terus kepada gaya unik seseorang penulis dalam menyampaikan idea kepada pembaca mengikut pandangannya. Selain itu, tumpuan stilistik melingkupi kenapa gaya bahasa sedemikian digunakan (tujuan) penulis. Gaya bahasa yang dimaksudkan tersebut terbahagi kepada dua unsur iaitu gaya menurut sistem bahasa dan gaya menurut seni bahasa.

Ciri-ciri Stilistik Bahasa

Ciri utama stilistik bahasa adalah indah dan menarik. Ciri tersebut merupakan gambaran kepada keunikan penulis dalam mencetuskan sesuatu karya sastera menurut gaya dan stailnya yang tersendiri. Selain itu, stilistik bahasa juga bersifat menyenangkan bukan sahaja kepada penulisnya tapi juga kepada pembacanya serta memiliki nilai estetika.


Stilistik dari Sudut Sastera

Stilistik mengkaji secara keseluruhan karya dengan menerapkan kajian ilmu linguistik dalam penggunaan bahasa. Karya sastera berbeza antara satu sama lain kerana penggunaan gaya bahasa digunakan untuk menimbulkan kesan artistik. Rene Wellek dan Austin Warren 1966 menyatakan bahawa stilistik bertujuan untuk meneliti penggunaan bahasa yang menyimpang daripada norma dan berusaha menemukan nilai estetik. 

Prinsip Stilistik

1 - Mengiktiraf bahasa sebagai punca kegiatan berkreatif dengan merujuk kepada kemampuan berbahasa sebagai satu anugerah dan bakat seseorang penulis. Karya sastera adalah huraian tentang kebolehan mengarang bagi seseorang penulis.

2 - Menerangkan aspek tema yakni pendekatan struktural. Penelitian menggunakan pendekatan ini merujuk kepada aspek bahasa yang melibatkan ayat-ayat yang membina keseluruhan karya.

3 - Memperlihatkan gaya keperibadian seseorang pengarang. Murry J.M (1967), mengatakan bahawa kedudukan stilistik sebagai penelitian sesuatu gaya istimewa dalam eksposisi dan pembentukan satu penyusunan diksi serta struktur kalimat yang mencerminkan keperibadian atau idiosinkrasi penulisnya. Perbezaan stail dalam kalangan penulis disebabkan oleh beberapa aspek iaitu pendidikan, keperibadian, pengalaman dan juga sikap penulis itu sendiri.

4 - Menghuraikan pemilihan diksi, pembentukan perkataan dan ayat. Pendekatan kajian morfologi dan sintaksis mampu menghuraikan pelbagai genre dan jenis perkataan serta ayat yang digunakan. Oleh sebab itu, seseorang pengkaji perlu menguasai aspek sosiologi dan dialektologi.

5 - Membantu pembaca memahami makna perkataan yang sukar serta ayat yang kompleks yang digunakan oleh pengarang. Misalnya, penggunaan kata dan diksi dari bahasa daerah dan tempatan dapat memperkaya perbendaharaan kata di samping merupakan satu gaya dan stail pengarang.

6 - Menekankan penelitian tentang penghasilan sesebuah karya. Hal ini demikian kerana  semasa berkarya, seseorang individu itu didorong oleh pelbagai keadaan dan rangsangan yang berlaku di sekelilingnya. Hasilnya pengkaji dapat menemukan gagasan bahawa terdapat unsur-unsur bahasa yang mendorong seseorang untuk menjadi kreatif. 

7 - Digunakan untuk menghuraikan penerimaan dan penghargaan pembaca atau khalayak ramai terhadap sesebuah karya. Oleh itu, stilistik dapat menjelaskan kesan penggunaan bahasa sama ada dapat difahami, menimbulkan keseronokan, kesedihan, kemarahan, semangat terhadap penggunaan penanda dan petanda bahasa yang yang digunakan untuk mengungkapkan pemikiran, mesej atau idealisme pengarang.

Hubungan Bahasa dan Sastera

Disiplin ilmu linguistik yang digunakan ialah Fonologi,Morfologi, Sintaksis dan Semantik yang diguna pakai dalam menganalisis kesusasteraan tradisional dan moden, prosa dan puisi serta aliran dan pemikiran.

Kedudukan Bahasa dalam Sastera

Bahasa merupakan suatu seni yang bersifat halus, tertib, bersistem dan memiliki nilai keindahan. Manakala susastera pula bermaksud seni bahasa yang indah.

Penulis dan Bahasa

Penulis merupakan pemikir, pemerhati, perenung dan tukang sibuk dalam masyarakat. Selain itu, penulis merupakan pentafsir kepada sesuatu isu yang berlaku di sekeliling masyarakatnya. 

Bahasa dalam Teks Sastera

Penulis menggunakan bahasa untuk menterjemahkan pemikiran mereka dengan menerapkan unsur emotif, suspen, ketegangan dan peleraian. Penerapan unsur sedemikian ditandai dengan pemilihan kata dan diksi.

Ayat Tunggal 

Merupakan bentuk yang sering digunakan dalam karya sastera kerana pengucapannya cepat, aliran pemikirannya selari dan sering digunakan dalam situasi berkonflik, berlawan cakap, suasana cemas dan interaksi bersemuka.

Hubungan Bahasa dan Kajian Sastera

1. Pendekatan Stilistik
2. Pendekatan Analisis Wacana
3. Teori Semiotik

Bahasa dan Batas Makna

Bahasa digunakan untuk:

1. Menyatakan maksud.
2. Menjelaskan sesuatu.
3. Mewujudkan kemesraan.
4. Mendapatkan kepastian dan membuat keputusan.

Penentuan Makna

Idea yang disampaikan berdasarkan kefahaman dan stail penulis tidak lari daripada kelainan penerimaan daripada khalayak pembaca kerana sesuatu perkara sering kali cenderung dilihat berdasarkan kepada budaya setempat. Selain itu, faktor perbezaan kerana perbezaan lambang bahasa yang dimiliki oleh anggota masyarakat setempat. Oleh itu, makna sesuatu ayat dan diksi seharusnya dilihat melalui isyarat bahasa. 

Faktor Pemahaman

Setiap pembaca mempunyai tahap pemahaman yang berbeza disebabkan oleh beberpa perkara iaitu intonasi, aliran pemikiran, pemilihan diksi, persepsi dan tanggapan serta hubungan pembaca dengan penulis. 

Kenali Linguistik dan Kesusasteraan

LINGUISTIK V.S KESUSASTERAAN MELAYU


Apa itu Linguistik ?

DEFINISI LINGUISTIK

Istilah linguistik berasal daripada perkataan Latin lingua yang membawa maksud 'bahasa'. Dalam bahasa-bahasa "Roman"(iaitu bahasa-bahasa yang berasal daripada bahasa Latin), masih ada kata-kata serupa dengan lingua Latin itu; iaitu langue dan langage dalam bahasa Perancis, dan lingua dalam bahasa Itali. Seterusnya, bahasa Inggerís memungut kata daripada bahasa Perancis ini menjadi language. Istilah 'linguistics' dalam bahasa Inggerís adalah berkaitan dengan kata language tersebut, seperti juga dalam bahasa Perancis, istilah linguistique adalah berkaitan dengan language. Dalam bahasa Melayu pula, istilah linguistik merupakan nama bagi bidang ilmu, dan kata adjektifnya adalah linguistic atau "linguistik".

Ferdinand de Saussure (1916), yang merupakan bapa linguistik moden berbangsa Swiss, dalam bukunya Cours de Linguistique Generale telah membezakan kata Perancis langue dan langage. Selain itu, beliau juga turut membezakan istilah parole (tuturan) berdasarkan kedua-dua istilah tersebut. Menurut beliau lagi, langue merupakan suatu "sistem". Manakala, istilah langage boleh diertikan sebagai bahasa khas yang ada pada penutur bahasa seperti yang terdapat dalam ucapan "Di mana manusia memiliki bahasa, binatang juga memiliki bahasa, tetapi tidak tuturan". Parole yang merupakan 'tuturan' pula adalah bahasa, sebagaimana yang dipakai secara konkrit dan merujuk kepada 'loghat', 'ucapan', dan 'perkataan'. Dalam bidang kajian ilmu linguistik, kebanyakan para sarjana bahasa sering menggunakan istilah Perancis ini (langue, langage dan parole) sebagai suatu istilah profesional.

Di dalam bahasa Melayu, istilah ahli linguistik disebut "linguis" yang dipinjam daripada istilah bahasa Inggeris linguist. Manakala dalam penggunaan bahasa Inggeris seharian, istilah linguist merujuk kepada makna  "seseorang yang fasih dalam berbagai bahasa". Sebagai contoh, ungkapan "He is quite a linguist" yang bererti "Dia fasih dalam beberapa bahasa". Dalam istilah ilmiah pula, linguist dapat diertikan sebagai ahli bahasa. Berdasarkan keterangan tersebut, kita dapat merumuskan bahawa orang yang fasih dalam menguasai berbagai bahasa tidak sama dengan ahli linguistik. Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa kita perlu membuat perbezaan di antara kata bahasa Inggeris linguist di dalam bahasa seharian dengan istilah linguist sebagai ahli linguistik.

Ilmu linguistik dikatakan bersifat umum. Umum di sini bermaksud bahawa bidang kajian ilmu linguistik ini tidak bersifat spesifik, yakni hanya menyelidik kepada bahasa-bahasa tertentu sahaja. Ilmu linguistik sebenarnya merujuk kepada bahasa secara umum. Ini bertepatan dengan pandangan Ferdinand de Saussure (1857) yang merumuskan bahawa ilmu linguistik tidak hanya meneliti salah satu langue sahaja, tetapi merangkumi bahasa atau language secara umum. Selain itu, kajian ilmu linguistik meliputi bahasa-bahasa di dunia yang berbeza sifatnya. Dengan wujudnya kelainan bahasa-bahasa tersebut, maka bidang kajian linguistik dikatakan bersifat umum. Kelainan bahasa-bahasa ini merupakan bidang kajian ahli linguistik.

Ilmu linguistik juga dikatakan sebagai ilmu pengetahuan spesifik. Ini bermakna bidang kajian linguistik, seperti juga disiplin ilmu yang lain, mempunyai sistem yang teratur bagi merealisasikannya sebagai salah satu bidang ilmu yang dipelajari. Selain itu, ilmu linguistik dikaitkan juga dengan ilmu yang bersifat empiris. Ini bermakna ilmu linguistik dan bidang ilmu yang lain dikaitkan dengan fakta dan data yang dapat diuji kesahihannya oleh ahli-ahli tertentu dan semua ahli yang lain.

Di dalam kajian ilmu linguistik ini juga, bahasa sering dikaitkan sebagai objek bagi kajian bidang ini. Istilah-istilah bahasa di dalam kajian ilmu linguistik pula dikaitkan dengan pelbagai tafsiran. Umpamanya, bahasa dikaitkan dengan erti kiasan yang membawa pelbagai tafsiran makna. Selain daripada itu, bahasa juga dikaitkan dengan istilah harfiah, yakni dalam ungkapan  'ilmu bahasa  ' seperti dalam contoh bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan sebagainya. Dalam menjelaskan tafsiran bahasa, istilah harfiah ini dianggap sebagai objek dalam bidang ilmu kajian linguistik. Terdapat banyak definisi linguistik yang telah dikemukakan oleh ahli linguistik sejak dahulu hingga kini. Banyak definisi yang dikemukakan oleh mereka berfokus kepada pengertian kata linguistik itu sendiri yang membawa pelbagai tafsiran yang berbeza di kalangan mereka. Menurut Verhaar (1985:1), kata linguistik berasal daripada kata Latin iaitu lingua yang bermaksud bahasa. Pandangan tentang definisi ilmu linguistik ini turut disentuh oleh Langacker (1987). Menurut beliau, linguistik adalah kajian terhadap bahasa manusia. Ini bermakna linguistik mengkaji bahasa-bahasa yang dihasilkan oleh manusia melalui alat-alat pertuturan tertentu yang membawa pelbagai makna.
 
Seterusnya, David Crystal (1973) menjelaskan linguistik sebagai kajian bahasa secara saintifik. Ini bermakna bahawa bahasa-bahasa yang dikaji mesti dilihat sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun serta mempunyai organisasi tersendiri. Selain itu, saintifik juga merujuk kepada sesuatu ilmu yang mempunyai ciri keesahan dan kebolehpercayaan dari segi mutu dan kesahihan fakta. Pandangan yang sama berkaitan kajian bahasa secara saintifik ini turut dikemukakan oleh John Lyons (1968:89). Menurut beliau, linguistik adalah  'The scientific study of language '. Pandangan kedua-dua tokoh ini memperlihatkan bahawa perlunya linguistik dikaji seperti juga disiplin ilmu lain yang juga memperlihatkan ciri-ciri saintifik.
 
Verhaar (1993) menjelaskan linguistik sebagai satu kajian ilmu bahasa. Menurut beliau, pengertian kata ÂlinguistikÊ merujuk kepada bagaimana suatu kajian bahasa itu dilaksanakan. Berdasarkan pandangan tersebut, kajian ilmu bahasa mencakupi bidang ilmu yang sangat luas. Ia merangkumi bidang linguistik
secara khusus; iaitu linguistik sinkronik, linguistik diakronik, linguistik deskriptif dan linguistik preskriptif. Linguistik sinkronik merujuk kepada kajian pada suatu bahasa dan masa tertentu. Linguistik diakronik pula menumpu kepada kajian yang dibuat mengikut perkembangan masa dan perbandingan bahasa. Linguistik deskriptif pula menumpu kepada huraian beberapa kemungkinan yang ada di dalam sesuatu bahasa, tanpa penentuan betul dan salah. Manakala, linguistik preskriptif membentuk norma atau menentukan yang mana betul dan yang mana salah di dalam pemerian bahasa. Bidang linguistik ini juga termasuklah linguistik jati yang memberi huraian atau deskripsi tentang sesuatu bahasa tanpa kaitannya dengan bidang lain dan linguistik terapan, iaitu mengkaji segala bidang linguistik yang dikaitkan dengan bidang lain. 

Berdasarkan pandangan tokoh-tokoh tersebut, kita dapat merumuskan bahawa linguistik merupakan bidang yang memerlukan kajian yang mendalam dan teliti yang memberi penekanan kepada bidang kajian bahasa secara khusus serta menghubungkan bahasa dengan ilmu disiplin yang lain.
  


Apa itu Kesusasteraan Melayu?



DEFINISI KESUSASTERAAN

Terdapat pelbagai definisi yang diberikan untuk memberi makna kepada kata ‘kesusasteraan’. Hashim Awang menyimpulkan erti kesusasteraan sebagai ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Namun demikian, untuk mengelakkan kekusutan, maksud perkataan itu diberi berdasarkan etimologi. Etimologi bermakna kajian asal usul bahasa. Kesusasteraan berasal daripada cantuman kata ‘su’ dan ‘sastra’ dalam bahasa Sanskrit. Kemudian diberi apitan ‘ke...an’ untuk membentuk kata nama. Makna-maknanya adalah seperti yang berikut:
i.  Su - Baik, Indah, Cantik, Seni dan Berguna
ii. Sastra - Karya (lisan/bertulis) atau buku
iii. Susastra - Karya yang indah dan berguna
iv. Kesusasteraan - Semua bentuk karya bernilai seni dan berguna

Berdasarkan huraian-huraian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan merupakan kesemua hasil seni yang disampaikan melalui bahasa dan ia ditujukan kepada khalayak. Khalayak bermaksud pembaca bagi karya yang bertulis atau penonton drama. Oleh sebab itu, istilah Kesusasteraan Melayu merujuk kepada karya-karya kesusasteraan yang ditulis dalam bahasa Melayu.






Saturday, 28 November 2015

Cerita Tentang Apa dan Siapa

 

Blog Stilistik Linguistik ini dibina untuk memenuhi tugasan 
HHHC9501 KEMAHIRAN PEMIKIRAN KRITIKAL, PENYELESAIAN MASALAH DAN PENDEKATAN. 


Di bawah bimbingan PROF MADYA DR. MAWAR BINTI SAFEI.


 Pertama sekali, kami akan memperkenalkan ahli kumpulan kami:


NORIYAZI BT MD NAJIB 
A134249

SITI NOR FADILAH BINTI SALEH
A145307

NURSUHADA BINTI NORDIN
A145311

NUR HAZWANI BINTI RAMLEE
A145314

NOR HAZILA BINTI MAT LAZIM
A145326

NOOR HAFIDA BINTI ZAINUDIN
A145327